Kesilapan
dan Kecuaian Umat Islam pada Bulan Ramadan
Elak melakukan kesilapan dalam melaksanakan sesuatu ibadah termasuk ibadah puasa, sama ada kekeliruan, kekurangan.
Sebahagian kita
melakukan kesilapan dalam melaksanakan sesuatu ibadah termasuk ibadah puasa
sama ada disebabkan kekeliruan, kekurangan mahupun juga ketiadaan ilmu
tentangnya. Oleh sebab itulah sebelum
tibanya bulan Ramadan lagi kita digesa supaya membuat persediaan mental dan
fizikal bagi menyambut ketibaannya dengan penuh keinsafan serta kegembiraan dan
berusaha menunaikan ibadah yang difardukan atas kita itu dengan penuh
kesungguhan.
Antara persediaan
penting yang perlu dilakukan termasuklah mendapatkan ilmu secukupnya berkaitan
dengan bulan Ramadan serta ibadah puasa. Sebagai contoh ialah cara terbaik
menyambut Ramadan, hikmah berpuasa dan hukum-hakam ibadah puasa, misalnya
perkara-perkara sunat, makruh dan yang mengurangkan pahala serta membatalkan puasa,
selain keringanan (rukhsah) yang diberikan kepada individu tertentu untuk tidak
menunaikan ibadah puasa serta cara menggantikannya.
Beberapa kekurangan
dan kesilapan yang dapat dilihat dalam amalan atau tindakan umat Islam pada bulan Ramadan termasuklah:
1. Tidak meneladani amalan umat Islam terdahulu dalam
menyambut ketibaan Ramadan
Jika diamati,
sambutan yang diberikan terhadap kedatangan Ramadan amat berbeza antara
masyarakat Islam kini dengan umat Islam terdahulu. Ibn Rajab al-Hanbali menyebut daripada Ma`la
ibn al-Fadl, “Mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan
supaya mereka ditemukan dengan Ramadan dan berdoa enam bulan lagi (selepas
Ramadan) agar Allah menerima amalan mereka.” (Mohamad Noor Mohamad Endut,
Ensiklopedia Ramadan, hlm. 82)
2. Menyambut Ramadan tanpa memohon keampunan daripada
Allah S.W.T.
Dr Mani` `Abdul
Halim Mahmud mengatakan, “Terdapat tiga perkara penting yang mesti dilakukan
oleh umat Islam sebagai persediaan penting sebelum kedatangan bulan penuh
kemuliaan, iaitu Ramadan.
Pertama, taubat
nasuha daripada sebarang dosa, kedua, berazam dan berjanji untuk tidak
mengulangi dosa yang telah dilakukan itu, dan ketiga, berusaha untuk mengetahui
hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah puasa agar dapat melaksanakannya
dengan sempurna.
Selain itu, usaha
dilakukan bagi membersihkan diri dengan menggantikan akhlak buruk dengan akhlak
terpuji dan mengukuhkan hubungan antara sesama umat Islam. Semua perkara ini
memudahkan setiap Muslim mendekatkan diri kepada Allah dan menunaikan ibadah
dengan penuh keikhlasan.” (Mohamad Noor Mohamad Endut, Ensiklopedia Ramadan,
hlm. 88)
3. Makan dan minum dengan bebas setelah puasa terbatal
dengan sengaja
Sesiapa yang
puasanya terbatal bukan disebabkan sebarang keuzuran yang diterima, iaitu
melakukan sesuatu tindakan dengan sengaja misalnya makan dan minum, melakukan
hubungan seksual, mengeluarkan air mani (al-istimna`), dan sebagainya, maka ia
mesti menahan diri daripada makan dan
minum atau melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sepanjang hari
berkenaan bagi menghormati bulan Ramadan.
Perkara ini disebut
dalam Hadith yang berikut yang bermaksud, “Sesiapa yang telah makan hendaklah
ia berpuasa baki waktu harinya itu.” (Al-Bukhari) Larangan tersebut merupakan denda terhadap
individu tersebut kerana hukum bagi perbuatannya berbuka dengan sengaja ialah
haram dan puasa yang terbatal dengan sengaja itu wajib diqada’ pada hari yang
lain.
4. Meninggalkan sama sekali amalan bersahur
Tindakan
meninggalkan sahur adalah amat merugikan kerana amalan bersahur mempunyai
banyak manfaat. Antaranya termasuklah
sahur dan makanan yang dimakan semasa bersahur dijamin keberkatannya oleh Allah
s.w.t.
Perkara ini disebut
oleh Nabi s.a.w. dalam hadith-hadith yang berikut yang bermaksud, “Bersahurlah
kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan,” (al-Bukhari dan Muslim)
dan “Hendaklah kamu bersahur, sesungguhnya sahur itu merupakan makanan yang
diberkati.” (Al-Nasa’ie). Hadith ini
menegaskan bahawa makanan sahur memiliki keberkatan tersendiri yang hanya dapat
dirasai oleh individu yang meyakininya dan sentiasa berusaha memelihara amalan
bersahur kerana bertujuan menurut Sunnah Nabi S.A.W.
Keberkatan (barakah)
merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan kerana melaluinya kita akan
memperoleh segala kebaikan. Justeru,
dalam apa juga perkara yang dilakukan dalam kehidupan, kita mesti berusaha
mencari keberkatan.
Tiada gunanya kita
memiliki sesuatu dalam kuantiti yang banyak, misalnya harta tetapi tiada
keberkatannya. Sebaliknya, adalah lebih bermakna sekiranya harta yang dimiliki
sedikit namun ada keberkatannya. Merujuk khusus kepada ibadah puasa, sahur
menyalurkan keberkatan kepada ibadah yang dilaksanakan sepanjang hari dan juga
dalam kehidupan secara umumnya.
Selain sumber untuk
mendapatkan keberkatan, sahur juga berperanan menyediakan tenaga dan kekuatan
fizikal kepada umat Islam. Kekuatan fizikal dan kecergasan amat diperlukan bagi
melaksanakan ibadah puasa dan aktiviti seharian.
Hal ini penting
khususnya bagi membuktikan bahawa umat Islam tidak menjadi lemah sehingga
menimbulkan fitnah terhadap ibadah yang dilaksanakan. Bahkan sebaliknya mereka
menjadi individu yang amat produktif dan aktif dalam melaksanakan semua tugas
dan tanggungjawab yang dipikul.
Dalam sebuah Hadith,
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu memohon bantuan dengan
makanan sahur bagi (memberikan kekuatan untuk) berpuasa pada siang hari.”
(Al-Hakim)
5. Memilih untuk bersahur pada waktu tengah malam
Bersesuaian dengan
maksud sahur (sahr) itu sendiri yang merujuk kepada akhir malam atau sepertiga
akhir malam, maka bersahur disunatkan pada waktu-waktu tersebut berbanding
dengan waktu yang jauh lebih awal daripadanya.
Dengan kata-kata
lain, bersahur terlalu awal bukan sesuatu yang digalakkan, apatah lagi
disebabkan perasaan malas untuk bangun pada sepertiga atau akhir malam. Tindakan ini tidak menepati amalan Nabi
s.a.w. kerana Baginda sendiri melewatkan sahur Baginda sehingga tinggal baki
beberapa minit sebelum masuknya waktu subuh. Baginda berhenti bersahur dengan
tujuan untuk bersiap sedia mendirikan Solat Subuh.
Sekiranya seseorang
terlewat bangun dan waktu bersahur masih berbaki, ia masih boleh bersahur
sehinggalah terbitnya fajar sadiq, iaitu waktu subuh. Waktu imsak yang ditetapkan bukan menunjukkan
tamatnya waktu bersahur tetapi sebagai peringatan bahawa waktu bersahur sudah
hampir tamat.
6. Tidak memanfaatkan waktu bersahur untuk beribadah
dan beristighfar
Sebahagian besar
umat Islam hanya bangun pada waktu sahur semata-mata untuk makan dan minum
sahaja sedangkan waktu sepertiga akhir malam itu merupakan saat-saat terbaik
untuk melaksanakan ibadah atau amal salih serta waktu mustajab untuk berdoa
serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.
Allah S.W.T. memuji
amalan mulia golongan bertaqwa melalui firman-Nya, “Dan pada waktu akhir malam
(sebelum fajar) pula mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon
ampun).” (Surah al-Zariyat 51 :
18). Perkara yang sama dinyatakan dalam
ayat 17, Surah Ali `Imran. Sebuah Hadith
yang diriwayatkan oleh al-Nasai’e menyebut bahawa seorang sahabat bertanya
kepada Nabi (maksudnya), “Wahai Rasulullah, pada waktu bilakah doa paling didengari
(Allah s.w.t.)?” Nabi bersabda, “Pada
penghujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardu.”
7. Kurang berdoa ketika berpuasa dan berbuka
Sebagaimana yang
dimaklumi, Allah s.w.t. amat mencintai hamba-hamba-Nya yang sentiasa
mempamerkan sifat kehambaan mereka, iaitu dengan berdoa dan memohon
kepada-Nya. Allah s.w.t. juga menegaskan
bahawa Dia Maha Mendengar dan pasti memperkenan doa mereka (Surah al-Baqarah 2
: 186), iaitu sekiranya doa yang dipohon itu memenuhi syarat serta
adab-adabnya. Ramadan yang membawa
limpahan rahmat kepada umat Islam seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk
memohon keampunan, kesejahteraan, kelapangan, dan apa juga yang dihajati kepada
Allah s.w.t. Hal ini lebih-lebih lagi pada waktu-waktu yang mustajab, iaitu ketika
hendak berbuka. Perkara ini ditegaskan
dalam sebuah Hadith yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa
kelebihan bahawa doanya tidak akan ditolak ketika ia berbuka (atau hampir
berbuka).” (Ibn Majah)
8. Kurang memberi perhatian terhadap pemilihan makanan
semasa berbuka dan bersahur
Kita umumnya
menyedari tanggungjawab untuk memilih makanan yang halal dan baik atau
berkhasiat, sama ada ketika berbuka mahupun bersahur. Hal berkenaan bertujuan memastikan ibadah
yang dilaksanakan bukan sahaja diterima oleh Allah s.w.t. tetapi juga dapat
memulihkan, mengekalkan, serta meningkatkan kesihatan. Sebagaimana disyorkan oleh Nabi s.a.w. dan
merupakan sunnah yang perlu diikuti, kurma perlu dijadikan makanan berbuka atau
jika tiada, memadai dengan air kosong.
Sebagaimana sering
diperkatakan, kandungan gula ringkas dalam kurma yang sangat tinggi membolehkan
tenaga diserap dengan pantas oleh tubuh.
Selain itu, kurma juga mengandungi protein, serat, vitamin A & C,
serta zat mineral yang semuanya baik lagi berkhasiat untuk tubuh. Berbuka dengan memilih makanan yang baik dan
berkhasiat serta dalam kuantiti sederhana, penting bagi mendapatkan tenaga
untuk beribadah dengan sempurna pada malam hari.
Demikian juga ketika
bersahur. Nabi S.A.W. bersabda yang
bermaksud, “Sebaik-baik sahur orang Mu’min ialah tamar.” (Abu Daud, Ibn Hibban,
dan al-Baihaqi). Di samping kurma, kita
juga digalakkan supaya mengambil makanan yang lambat dihadam pada waktu sahur
bagi membantu mengekalkan tenaga untuk jangka masa yang panjang. Makanan lambat
dihadam ini merupakan makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.
Antaranya
termasuklah bijirin penuh seperti beras basmathi, beras perang, oat, barli, dan
sebagainya; makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan
buah-buahan kering; dan kekacang seperti kacang dal.
Seterusnya kita juga
digalakkan untuk mengambil makanan yang mengandungi protein seperti ikan, ayam,
daging, telur atau tauhu. Sementara minuman pula, kita digalakkan untuk meminum
air kosong secukupnya atau susu dan jus buah-buahan. Pemilihan makanan yang
tidak baik atau memudaratkan kesihatan sepanjang Ramadan sebaliknya mendedahkan
individu yang berpuasa kepada penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah
tinggi dan jantung.
9. Mengabaikan Solat Subuh dan mengutamakan Solat
Tarawih
Tindakan mengabaikan
solat fardu dan sebaliknya mengutamakan solat sunat jelas merupakan kecuaian
besar dan amat wajar dibetulkan. Seharusnya solat fardu itulah yang lebih
diutamakan kerana ia dituntut untuk dilaksanakan oleh setiap Muslim.
Sebagaimana diketahui, solat fardu merupakan kewajipan yang mesti
dilaksanakan.
Sekiranya kita
menunaikannya, maka kita akan memperoleh pahala dan sebaliknya jika ditinggalkan,
kita akan menanggung dosa. Namun bagi perkara atau amalan sunat, sekiranya ia
dilaksanakan, kita akan memperoleh pahala dan sebaliknya jika ditinggalkan,
tidak menyebabkan kita menanggung dosa. Kelebihan besar yang ada pada solat
fardu yang ditunaikan secara berjemaah juga sering diabaikan oleh umat Islam.
Justeru, kita dapat
melihat masjid dan surau dipenuhi jemaah ketika Solat (sunat) Tarawih namun
masjid dan surau lengang ketika Solat Subuh sedangkan Nabi s.a.w. menyebut
dalam Hadith Baginda bahawa individu yang mendirikannya secara berjemaah
memperoleh pahala menghidupkan seluruh waktu malam.
10. Berpuasa tetapi tidak menunaikan solat fardu
Ini merupakan
kesilapan yang sangat besar dan memerlukan tindakan pembetulan, iaitu melalui
nasihat serta teguran kepada individu yang melakukannya. Solat merupakan rukun
Islam kedua dan tiang agama yang mesti dipelihara. Perbuatan meninggalkan solat
dengan sengaja menyebabkan keislaman seseorang tidak lengkap. Jika dibaratkan
sebagai rumah, maka keadaannya senget atau tidak stabil. Berhubung dengan ibadah puasanya, Allah
jualah yang menentukan nilainya.
11. Kurang cergas atau produktif dalam melaksanakan
tugas
Ibadah puasa yang
dilaksanakan seharusnya menjadi pendorong utama pelaksanaan tugas seharian
dengan penuh amanah, cemerlang, dan lebih produktif. Hal ini disebabkan ibadah
puasa memupuk dan meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pengawasan Allah
s.w.t. terhadap setiap gerak-gerinya (ihsan). Selain itu, umat Islam juga perlu
menjadikan penglibatan Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda dalam beberapa
buah peperangan pada bulan Ramadan sebagai sumber dorongan dan motivasi.
12. Melakukan pembaziran wang, makanan dan masa
Pembaziran wang,
makanan, masa dan apa juga perkara merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh
agama Islam. Al-Qur’an memberikan amaran
keras terhadap sikap keji ini dan menjadikan orang yang boros sebagai saudara
syaitan yang kufur kepada Allah S.W.T. (Surah al-Isra’ 17 : 26-27).
Meskipun menyedari
kewajipan bertindak menurut semangat dan tarbiyah Ramadan, namun malangnya
sebahagian besar umat Islam kelihatan sering melakukan pembaziran wang,
makanan, dan masa. Misalnya ketika
memperuntukkan masa dan membeli makanan serta barang-barang lain di pasar atau
bazar, sepanjang Ramadan sehinggalah ketika hampir menyambut kedatangan Syawal.
(Copy & Paste)
No comments:
Post a Comment